Pakailah Tali Pinggang Keledar!
Adakah anda memakai tali pinggang keledar setiap kali anda memasuki kereta? Jika tidak, tahukah anda bahawa tali pinggang keledar boleh menyelamatkan nyawa anda jika berlaku kemalangan jalan raya?
Anda sedang memandu mengikut hadlaju yang ditetapkan. Tiba-tiba sebuah kereta dari arah bertentangan terbabas dan merempuh kereta anda. Jika anda memakai tali pinggang keledar, bahagian badan yang paling kuat ketahanan seperti peha, bahu dan dada akan dapat menyerap tekanan rempuhan tersebut.
Jika anda tidak memakai tali pinggang keledar, anda mungkin akan tercampak ke hadapan ke arah roda kemudi, papan pemuka atau cermin depan kereta. Paling malang jika anda tercampak keluar dari kereta yang boleh mengakibatkan kecederaan yang parah atau kemalangan jiwa.
Jika anda masih lagi berfikir dua kali untuk memakai tali pinggang keledar, cuba renungkan fakta-fakta berikut:
|
Kebarangkalian untuk mendapat kecedaraan parah adalah dua puluh lima kali lebih tinggi jika anda tercampak keluar dari kereta anda daripada terikat di kerusi kereta. |
|
Pemandu atau penumpang kereta yang memakai tali pinggang keledar mempunyai kelebihan 50% daripada mengalami sebarang kecederaan parah di dalam kemalangan jalan raya. |
|
Dengan memakai tali pinggang keledar, anda boleh mengeluarkan diri dari kereta untuk meminta bantuan dan menolong penumpang lain keluar dari kereta dengan selamat. |
|
Ribuan mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya mungkin dapat diselamatkan jika mereka memakai tali pinggang keledar. |
|
Memakai tali pinggang keledar adalah salah satu undang-undang jalan raya yang perlu dipatuhi. Anda boleh didenda jika didapati melanggar undang-undang tersebut. |
Beringatlah, memakai tali pinggang keledar hanya mengambil beberapa saat daripada masa anda tetapi ia dapat menyelamatkan nyawa.