Amalan Ringkas Untuk Pemanduan Berhemah
Hampir saban hari termuat di dada akhbar
negara kita, berita kemalangan yang meragut nyawa dan kadar kemalangan
ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Keadaan ini menjadi lebih parah
lagi apabila menjelangnya hari-hari perayaan, seolah-olah musim
perayaan itu menjadi perangkap maut yang hanya menunggu untuk membaham
mangsa. Kajian menunjukkan peratusan kecuaian manusia penyebab utama
sesuatu kemalangan terjadi. Antara amalan ringkas untuk pemanduan
berhemah yang boleh dipraktikkan ialah:
1. Apabila berada dalam kesesakan trafik, pastikan anda dalam keadaan tenang. Sentiasa nyalakan lampu isyarat sebelum bertukar lorong untuk menyatakan tujuan anda. Sekiranya anda dipotong pemandu lain, perlahankan kenderaan dan berikan ruang kepada pemandu tersebut untuk masuk ke laluan anda dan lemparkan senyuman kepadanya.
2. Sekiranya anda berada di lorong laju
dan seseorang ingin memotong, ke tepi dan biarkan kenderaan itu
memotong. Anda mungkin memandu di lorong kanan dalam lingkungan had laju
yang sepatutnya, tetapi anda mungkin membahayakan diri anda dengan
menimbulkan kemarahan pemandu di belakang anda.
3. Kekalkan jarak sekurang-kurangnya dua
saat antara kenderaan anda dengan kenderaan di hadapan. Sesetengah
pemandu akan berasa marah jika diekori terlalu rapat. Sekiranya anda
diekori terlalu rapat, beri isyarat dan beri laluan untuk pemandu di
belakang anda untuk memotong.
4. Gunakan hon jika perlu. Elak
penggunaan hon secara berterusan sekiranya anda berasa marah dengan
pemandu lain kerana perkara ini mengundang gejala samseng jalanan
spontan.
5. Kekalkan tangan anda di atas stereng
dan elakkan membuat isyarat yang boleh menimbulkan kemarahan pemandu
lain, termasuklah ekspresi “selamat” seperti menggelengkan kepala.
6. Sekiranya ada pemandu yang naik marah, jangan memandang mata pemandu tersebut.
7. Berikan ruang yang banyak kepada
pemandu yang sedang marah. Sekiranya pemandu lain cuba untuk mencetuskan
pergaduhan, jauhkan diri anda seboleh mungkin. Pergaduhan tidak akan
timbul jika tiada orang yang ikut terlibat. Ibarat bertepuk sebelah
tangan, tidak akan berbunyi.
8. Dapatkan bantuan sekiranya anda
merasakan diekori oleh pemandu yang sedang marah dan cuba untuk
mencetuskan pergaduhan. Gunakan telefon bimbit untuk menghubungi polis.
Jika tiada telefon bimbit, pandu ke kawasan yang menjadi tumpuan orang
ramai seperti balai polis, pasar raya dan hospital. Jangan keluar dari
kenderaan atau pulang ke rumah.
Amalkan sikap bersopan santun dan
bertimbang rasa. Terimalah kenyataan bahawa anda akan bertemu dengan
pelbagai kerenah pemandu di jalan raya, dan perwatakan seseorang akan
berubah apabila tangannya memegang stereng kereta. Oleh itu, sematkan
budaya biar lambat asal selamat.