.

Keselamatan Kanak-kanak di Dalam Kereta





Keselamatan Kanak-kanak di Dalam Kereta

Tempat duduk kanak-kanak dan bayi adalah di tempat duduk belakang kereta. Elakkan daripada meletakkan mereka di tempat duduk hadapan kerana ianya amat merbahaya jika terjadi kemalangan.

Sesetengah kereta mempunyai beg udara yang boleh mencederakan kanak-kanak atau orang dewasa yang tidak berapa tinggi apabila ia menggelembung.

Pastikan bayi atau kanak-kanak sentiasa diikat dengan kemas dan selamat di dalam tempat duduk bayi atau kanak-kanak. Gunakan tempat duduk yang sesuai dengan usia dan saiz mereka. Tali pinggang keledar pula mestilah dikancing dengan kemas dan sempurna. Ini amat penting untuk menjamin keselamatan mereka!

Untuk memastikan seorang kanak-kanak atau bayi yang aktif terikat dengan kemas di kerusi masing-masing bukanlah suatu kerja mudah tetapi ini mungkin dapat menyelamatkan nyawa mereka sekiranya terjadi kemalangan.

Walaupun hanak-kanak berusia di antara empat hingga dua belas tahun tidak memerlukan tempat duduk khas, mereka mestilah sentiasa memakai tali pinggang keledar. Pastikan kereta anda mempunyai tali pinggang keledar di tempat duduk belakang kereta. Jika tidak, anda boleh memasangnya.

Kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas boleh duduk di tempat duduk hadapan tetapi pastikan mereka memakai tali pinggang keledar dengan sempurna sekalipun untuk perjalanan yang dekat.

Tali pinggang keledar hendaklah dipakai seketat mungkin. Tali pinggang duduk hendaklah dipakai di paras pelvis bukannya di atas perut. Pastikan tali pinggang tempat duduk bayi berada di atas bahu mereka bukannya di leher dan jangan biarkan bayi mengeluarkan sebahagian bahu mereka dari tali pinggang keledar.

Kanak-kanak biasanya akan menjadi tidak tenteram apabila memakai tali pinggang keledar. Mereka akan merengek atau meragam minta dilepaskan dari ikatan. Jangan sekali-kali mengalah dengan mereka kerana semuanya adalah untuk keselamatan mereka. Dan jangan sekali-kali meriba bayi atau kanak-kanak walaupun untuk perjalanan yang dekat.

Kanak-kanak juga tidak boleh ditinggalkan sendirian di dalam kereta kerana mereka boleh lemas akibat daripada suhu dalam kereta yang boleh meningkat dengan mendadak. Lagipun, kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian sering menjadi mangsa penculikan.

Keselamatan anak anda adalah tanggungjawab anda. Pastikan mereka sentiasa selamat di jalan raya.