KETIKA
memandu di jalan raya, kita perlu menerapkan satu perkara yang paling
asas di fikiran. Kita tidak keseorangan. Jalan raya adalah tempat yang
digunakan secara bersama, maka sama ada anda memandu sebuah kereta murah
atau berharga berjuta-juta ringgit, ia merupakan lorong yang kita semua
wajib patuhi.
Jalan raya direka dengan sistem dan undang-undang.
Kenderaan juga begitu, datang dengan sistem. Jadi apabila sistem tidak
dipatuhi, maka kepincangan seperti kemalangan dan kesesakan akan
terjadi.
Nilai sendiri kualiti pemanduan anda. Setiap orang
memiliki daya kepekaan berbeza sewaktu memandu. Ada orang yang tidak
pernah mengalami kemalangan walaupun jarang memandu perlahan. Ramai juga
yang keretanya calar balar biarpun memandu pada posisi seperti mencium
stereng. Perbezaannya adalah kepekaan dan teknik memandu.
Adakah
anda sering menjadi sasaran kemarahan pemandu lain atau adakah anda
sering diekori rapat ketika memandu dan dihala dengan lampu tinggi?
Jika
semua ini berlaku, ini bermakna memang ada yang tidak kena dengan gaya
pemanduan anda. Satu perkara penting yang harus diingat, ketika memandu
anda harus memastikan setiap pergerakan dapat dijangka oleh pemandu
lain.
Pandu secara konsisten
Pastikan anda memandu secara
konsisten, tidak kiralah agresif atau tidak. Ini perlakuan yang baik
bagi membantu pemandu lain menjangka pergerakan anda.
Banyak
padahnya jika tidak memandu dengan konsisten, atau dengan kata lain
memandu seperti orang yang tiada pedoman. Sekejap laju, sekejap
perlahan. Ini konsep yang penting dan harus diamalkan bagi mengelakkan
pemandu lain di sekeliling tidak terkejut dengan perubahan perilaku
pemanduan anda.
Kelajuan yang betul
Sebagai contoh, jika
had kelajuan di lebuh raya ialah 90km/j dan majoriti pemandu lain
memandu di antara 90 hingga 110 km/j, janganlah anda memandu 90km/j di
lorong paling kanan. Beredar ke lorong tengah atau ke lorong paling kiri
jika anda tidak berminat untuk menyamai kelajuan pemandu lain.
Beri
isyarat jika anda terpaksa memandu perlahan kerana hendak mencari
sesuatu lokasi atau kereta mengalami masalah mekanikal. Dengan memberi
isyarat, pemandu lain akan faham dan seboleh-bolehnya beri laluan kepada
kenderaan lain di belakang.
Jika kereta lain masih sukar untuk
melepasi anda kerana keadaan trafik, sentiasalah mencari peluang atau
posisi yang sesuai untuk membolehkan kereta lain memintas dan meneruskan
perjalanan dengan lancar.
Jangan mengekori kenderaan di hadapan
terlalu rapat. Jika kereta di hadapan tidak memberi laluan dan kereta
dari arah bertentangan tidak putus-putus, sebagai pilihan terakhir,
kembali ke jarak selamat dan beri lampu tinggi secara sopan (jangan
dinyalakan berkali-kali).
Pemandu di hadapan mungkin akan faham
dan bertimbang rasa untuk memberi laluan kepada anda. Jika anda pula
berada dalam keadaan dirapati oleh kenderaan belakang, anda dinasihatkan
untuk memberi laluan.
Guna cermin sisi
Cermin sisi direka
untuk melihat ke belakang. Gunakan cermin sisi, cermin pandang belakang
dan melihat titik buta (blindspot) sebelum memotong. Ini kerana mungkin
ada kenderaan di belakang anda yang sedang memotong dalam kelajuan
tinggi. Beri laluan kepada mereka dahulu. Apabila selesai mereka
memotong, barulah anda meneruskan pemanduan di lorong kanan.
Lampu isyarat jangan lupa
Menggunakan
lampu isyarat untuk menunjukkan ke mana arah anda supaya pergerakan
tidak mendatangkan kejutan kepada pemandu lain. Seelok-eloknya bagi
isyarat lebih awal, terutama dalam keadaan trafik yang sibuk.
Jangan
sudah hampir memasuki simpang, baru hendak memberi signal atau
suka-suka bertukar lorong tanpa melihat kenderaan di belakang.
Brek dengan perlahan
Jika
anda perlu membrek, tekan dengan perlahan-lahan. Bagi amaran awal
kepada pemandu di belakang. Sebagai anggaran untuk masa membrek yang
praktikal, lihat kereta selang kereta di hadapan anda. Membrek secara
mengejut merupakan perbuatan berbahaya.
Jika keadaan trafik
memaksa anda membrek secara mengejut (kemalangan atau sebagainya) cuba
cari ruang lega di hadapan agar kenderaan di belakang anda mempunyai
masa yang cukup untuk membrek.
Memecut pada masanya.
Memecutlah
di tempat sepatutnya seperti apabila lampu isyarat bertukar hijau atau
ketika giliran anda di simpang bertanda berhenti.
Ia membantu
mempercepatkan kelancaran trafik. Sebaik lampu bertukar hijau, bersedia
dengan kedudukan gear dan kemudian terus bergerak. Jangan 5 saat sudah
lampu trafik bertukar hijau baru terkial-kial mencari tuil gear.
Jika
hendak memasuki trafik yang sedang bergerak, anggar dengan baik dan
pantas masuk ke dalamnya. Jadi, anda tidak memaksa pemandu dari belakang
menekan brek. Cuba bersabar, tunggu ruang yang agak luas dan terus
masuk dengan pantas.
Berhenti di tempat sepatutnya
Tiada
faedah berhenti melebihi garisan. Ini hanya boleh menyusahkan kenderaan
lain dan mungkin alat pengesan lampu isyarat juga tidak dapat mengesan
anda.
Di persimpangan jalan raya dengan saiz jalan yang terhad,
anda hanya menjadi penghalang kepada kenderaan dari simpang
bersebelahan. Ia akhirnya akan memperlahankan trafik secara keseluruhan.
Jangan
berhenti di tengah jalan tanpa tujuan. Jika terpaksa berhenti di bahu
jalan, berikan isyarat dan bukannya berhenti sesuka hati.
Beretika
Jika
berada di lebuh raya yang sedang sesak, pilih lorong anda dan tetap di
situ. Jangan terlalu kerap bertukar lorong kerana ia tidak membuatkan
anda lebih pantas menuju ke destinasi.
Sebaliknya, ia membuatkan
keadaan trafik bertambah teruk. Jika kenderaan di lorong sebelah kanan
anda dipandu laju melepasi anda, tidak perlu anda meningkatkan kelajuan
kerana hendak menunjuk-nunjuk.
Jangan memotong ikut kiri. Ini
perlakuan yang berbahaya dan dikategori kurang sopan ketika lebuh raya
sesak dan biasa dilihat pada musim perayaan.
Selain menyalahi undang-undang, ia berbahaya kepada kenderaan lain yang berhenti di lorong kecemasan kerana rosak.
Lampu kecemasan
Lampu
kecemasan (hazard light) adalah untuk kecemasan. Ia digunakan ketika
kenderaan berhenti, bukannya ketika sedang bergerak. Bukan sama sekali
digunakan ketika hujan. Ketika hujan, pasang lampu utama. Walaupun pihak
berkuasa selalu menggunakan lampu kecemasan ketika mengiringi konvoi,
jangan sesekali anda menyalakan lampu itu ketika anda berkonvoi.
Anda
tidak kacak untuk berbuat begitu dan hanya membahayakan pengguna
lain.Bayangkan anda menyalakan lampu kecemasan ketika hujan kemudian
perlu masuk ke simpang kiri. Jadi bagaimana?